Thursday, March 17, 2011

Mari Belajar Istilah Kelantan (Huruf A sampai G)

Agah= sombong,angkuh
Awta= pembelit
Boje= rambut
Bokeh= tercungkil
Bole= rabun
Betak= lambat
Bo= cukup
Cedung = bersawah
Cekak = larat
Cetong = gayung
Cok = cangkul
Cokek = mencucuk jari ke pinggang atau rusuk org lain
 Cokoh = duduk
Colek = pencicah
Come-lote = terlalu cantik
Culah = liar,tidak jinak(haiwan)
Derak = keluar bersiar-siar 
 Dumoh = rumah
Ejas = memikat
 Gege = bising
Glecoh = tergelincir
Glega = lantai
Gorek = pengasah pensel
Grentok = jambatan
Gubak = kedudukan yg terakhir Hambak = mengejar 
Hudoh-banga = sangat hodoh
Halo=saka harimau jadian

Wednesday, March 16, 2011

Pato Kok Klate ( Pantun Dalam Bahasa Kelantan )

Sapo ada denak buro kukur, ( siapa ada denak burung tekukur )
Bulih ambo pinje wak mikak, ( boleh saya pinjam untuk pergi menjerat burung )
Kalu kita pandai bersyukur ( kalau kita pandai bersyukur )
Umur ko panje, rezeki ko berkat ( umur makin panjang, rezeki makin berkat )

Basuh kain bowoh pokok nipoh ( basuh kain bawah pokok nipah )
Tepi sungai ada sawoh ( tepi sungai ada sawah )
Buat baik bukan nok ngupah ( berbuat baik bukan kerana upah )
Tapi ikhlas kerana Allah ( tapi Ikhlas kerana Allah )

Jerang air dale kendi ( jerang air dalam kendi )
Nok hide ko tok tua mari ( untuk dihidang kepada bapa mertua datang )
Kalu jenih  tino malah mandi ( kalau perempuan jenis yang malas mandi )
Besar seksok payoh bulih tok laki ( besar nanti payah dapat suami )

Tepi tasik ada pasar ( Tepi tasik ada pasar )
Tempak ore bukak kda ( Tempat orang nuka kedai )
Keh kasih punyo pasal ( kerana mu wahai kekasih )
Seluar dale pun rela gadai ( seluar dalam pun sanggup aku gadai )

Teduh lembu bowoh basal ( teduh lembu bawah bangsal )
Male-male makan roti ( malam-malam makan roti )
Tadah ilmu sapa besar ( tuntut ilmu sampai besar )
Jadi bekale sebelom mati ( jadi bekalan sebelom mati )



Dale beledi ada katok ( dalam baldi ada katak )
Buat upe ike puyu ( dijadikan umpan ikan puyu )
Budi baik adik kakok ( budi baik semua )
Trimo kasih, I love You. ( terima kasih, I love You )

Hafifi Rashid
18.3.2011      
Tanjung Malim, Perak

Petua orang Felda Jengka bagi mengelakkan pedih mata semasa memotong bawang merah.





Mula-mula ambil satu ulas bawang merah kemudian pacakkan di hujung mata pisau. Kemudian  bolehlah potong bawang merah sebanyak mungkin Insyallah mata tidak akan menangis tak berlagu.Selamat mencuba..Wallahualam

keunikan melatah

Reaksi individu yang melatah adalah pelbagai. Ada yang menari, melompat, mengeluarkan kata-kata kesat, lucah, kotor, meniru aksi orang di sekeliling atau sebagainya. Tingkah laku itu mungkin dianggap satu bentuk hiburan kepada orang lain. Bahkan, sesebuah majlis perkahwinan atau kenduri kendara seakan-akan hilang serinya tanpa gelagat mereka yang melatah. Semakin diusik atau disergah, semakin rancak mereka melatah. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, latah bermaksud seseorang (biasanya wanita) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat. Ironinya, ramai yang menyangka latah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas. Sedangkan hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina."Sebelum ini, saya fikir latah hanya berlaku kepada wanita berumur. Tetapi, sangkaan itu meleset apabila saya sendiri mula melatah pada usia 22 tahun.

"Semua ini berpunca daripada kecenderungan saya mengusik penari senior yang melatah. Pada waktu itu, saya bertugas sebagai penari di Istana Budaya (1997)."Setiap kali waktu rehat, saya pasti mengganggu mereka. Apa lagi, mulalah mereka melatah dengan menari dan menyebut perkataan yang kurang enak didengar," jelas pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie, 34, ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Damansara Perdana, Petaling Jaya. Keasyikan mengacau orang melatah akhirnya menyebabkan virus tabiat tersebut 'menjangkiti' dirinya. Peliknya, tatkala penari senior melatah, dia pun akan turut serta. Walaupun menerima sergahan yang perlahan, Noor tetap melatah. Bukan setakat itu, sikap latahnya semakin menjadi-jadi sejak berkawan rapat dengan pelakon, Siti Haida Abdul Moin (Ieda). Ini kerana Ieda antara selebriti yang paling teruk melatah. Pantang dicucuk, disergah atau terdengar bunyi mengejut, pantas saja dia melatah. Justeru, apabila kerap bertemu rakan yang juga melatah, kesannya kedua-dua mereka akan melatah tanpa henti apabila terkejut. Lebih menjadi haru-biru apabila ada orang lain yang mengetahui kelemahan mereka akan mengambil kesempatan yang membuatkan mereka terus melatah."Paling melucukan disebabkan latah, kami berdua telah ditawarkan berlakon dalam telefilem bertajuk, Mario Mariono Bros. "Dalam drama tersebut, saya memegang watak gadis latah yang ingin menjalani kehidupan sebagai gadis normal. Bagi mendapatkan aksi latah yang semula jadi, tenaga produksi telah melakukan pelbagai kejutan supaya kami melatah teruk," ujar Noor yang pernah menampar dahi seorang pelakon kerana terkejut apabila pinggangnya diusik. Segelintir masyarakat menganggap latah tidak perlu ditakuti kerana ia dianggap sebagai satu bentuk hiburan yang mencuit hati. Namun begitu, tanpa kita sedari latah boleh menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan bawah sedar, hilang kawalan dan kepenatan. Walaupun tidak menyedari perkara yang dilakukan ketika melatah, tetapi sebaik sahaja tersedar daripada melatah, Noor yang pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2007 mengakui dia akan mengalami kepenatan yang teramat sangat."Latah sungguh memenatkan sehingga berpeluh-peluh dibuatnya. Situasi ini cukup tidak menyenangkan kerana ia mengganggu kerja saya. Atas faktor tersebut, setiap kali menjalani sesi penggambaran, saya akan minta kerjasama tenaga produksi supaya tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menyebabkan saya melatah.
"Apabila sudah penat dan tidak bertenaga, ia menyukarkan saya menjiwai watak," luah Noor yang turut memberitahu latah juga mengundang bahaya dan menjejaskan keselamatan seseorang.
Jelasnya, gara-gara melatah dia dan Ieda hampir mengalami kemalangan jalan raya. Kejadian itu berlaku sewaktu mereka dalam perjalanan pulang selepas penggambaran tamat. Secara tiba-tiba, sebuah kereta yang berada di belakang kereta Noor telah membunyikan hon. Bunyi hon yang kuat itu telah menyebabkan mereka berdua menjerit dan melatah sehingga Noor melepaskan stereng kereta. Mujur, Ieda segera sedar lalu menenangkan Noor supaya segera mengawal kereta yang hampir merempuh pembahagi jalan. Bukan itu sahaja, Noor juga pernah membaling telefon bimbit dan sikat serta hampir melemparkan pisau yang sedang digenggam akibat melatah. Memang seronok melihat orang melatah tetapi tindak-tanduk sedemikian sebenarnya mewujudkan rasa malu dan segan kepada golongan ini. "Saya bukan badut untuk dipermainkan dan dijadikan bahan ketawa," tegasnya yang berjaya mengurangkan latah dengan kaedah mengetap gigi apabila diusik. Oleh kerana jarang bertemu geng latah, Ieda memberitahu, pelakon Nadia Mustafar, 33, berjaya membantu mengurangkan sindrom latahnya.Bagaimana pula dengan lelaki? Adakah tabiat latah mereka lebih teruk berbanding wanita? "Selain saya, mak dan nenek juga melatah. Nenek pernah mengejar orang dengan parang manakala mak pula pengsan hanya disebabkan latah. "Tak tahulah sampai bila kami akan melatah. Hakikatnya, saya tak mahu lagi menanggung malu, semput dan keletihan," luah jurusolek bebas, Mohd. Firdaus Mohamed Dian, 24, yang meniru aksi orang, menjelirkan lidah dan membuat mimik muka ketika melatah. Menurut Mohd. Firdaus, dia pernah terjirus air ke muka pengantin perempuan yang disoleknya. Begitu juga pipi pelanggannya turut diconteng dengan gincu bibir apabila pinggangnya dicucuk. Namun begitu, Firdaus kini menarik nafas lega kerana tidak lagi mengalami latah yang teruk kerana kurang diusik oleh rakan-rakannya. Jika sewaktu berada di tingkatan tiga, rakan sekelasnya tidak pernah lekang mengacau sehingga dia pernah menangis kerana malu. Penulis buku American Normal: Hyperstartle Syndrome, Lawrene Osborne pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah (hyperstartle syndrome).Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak. Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori. “Sebab itulah, jika diperhatikan individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut,” jelasnya. Biasanya, sistem limbik beroperasi apabila terganggu dengan sistem endokrin dan sistem saraf. Ia merupakan sistem kompleks lintasan saraf dan jaringan dalam otak yang melibatkan naluri dan hati. Namun, Azhar berkata, sindrom melatah pada hari ini semakin berkurangan jika dibandingkan era 30 hingga 40 tahun yang lalu. Boleh dikatakan sepanjang era itu, majoriti masyarakat kampung melatah atas faktor sosiologi kerana terikut-ikut sifat melatah yang dialami oleh orang lain. “Jangan ganggu orang melatah kerana mereka akan keletihan memandangkan segala tindak-tanduk yang dilakukan mereka adalah di luar kawalan,” katanya. Konsultan Psikiatrik di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh pula, menasihati orang ramai supaya jangan mengganggu atau menyergah orang melatah. Ini kerana mereka akan mengalami kepenatan sehingga tidak bermaya. “Apabila berada dalam keadaan sedar, kita mampu mengawal pergerakan tetapi tidak ketika melatah,” tambah Dr. Nor Hamidah



Komen penulis blog: Saya sangat tertarik dengan artikel dia atas kerana artikel ini telah menghuraikan tentang melatah dari sudut Sains. Sebelum ini saya beranggapan melatah adalah sesuatu perbuatan yang dibuat-buat kemudian dalam jangka masa yang panjang perbuatan ini menjadi suatu kelaziman yang sukar untuk dibuang. Menurut bekas guru bahasa Inggeris saya, Madam Poi Eng Cheaw penyakit latah ini sangat sinonim dengan masyarakat Melayu sahaja sebaliknya tidak untuk bangsa lain. Dia telah membuat sedikit kajian tentang penyakit latah dalam masyarakat lain dan dia beritahu bahawa bangsa lain tidak ada penyakit seumpama ini bahkan dalam bahasa Inggeris tidak ada terjemahan khusus bagi perkataan melatah. Bagi saya ini satu keistemewaan masyarakat Melayu yang tidak ada pada masyarakat lain. Wallahualam..........

pedoman khalifah



Mutakhir ini kita sering dipaparkan dengan karenah induvidu yang inginkan diri mereka dinobatkan sebagai pemimpin. Kadangkala ramai yang tidak berkelayakan untuk diangkat menjadi pemimpin tetapi beria-ria dan bersunguh-sungguh untuk meraih simpati rakyat supaya mengangkat mereka menjadi pemimpin atau wakil rakyat. Golongan ini akan menggunakan seluruh keringat mereka untuk meraih undi daripada rakyat. Gelagat golongan pemimpin ini memberikan saya satu ilham untuk meghasilkan sebuah sajak. Sajak yang saya hasilkan ini saya dedikasikan kepada semua wakil rakyat di Malaysia tak kira dari pihak kerajaan ataupun pembangkang.


 Pedoman Khalifah
Wahai,
Khalifah pilihan rakyat
Penghuni kerusi keramat
Menjulang seluruh harapan masyarakat
Berkerjalah dengan kuat
Amanah, telus dan bersemangat
Menyuapkan kemajuan ke segenap mulut umat
Seperti janji yang diungkap
Sebelum diri diangkat
Menjadi yang berhormat

Duhai pemimpin,
Yang berhormat bukan jawatan kebanggaan
Sebaliknya satu tanggungjawab yang bakal di hisab
Di akhirat kelak
Sedarlah,
Rakyat sihat
Pemimpin selamat
Rakyat melarat
Itu tanda pemimpin khianat

Hafifi Rashid
18.1.2011      
Tanjung Malim, Perak

langkah bendul



Pada cuti Hari Raya Cina tempoh hari, Ayah Long saya, Hj Amran melangsung pertunangan anakandanya Nadhirah di rumah keluarga mereka di Ayer Lanas, Jeli. Nadhirah merupakan anak ke empat, abang dan 3 kakaknya masih belum berkahwin. Mengikut kebiasaannya, perkahwinan Nadhirah ini dipanggil "langkah bendul". Oleh itu, pengantin lelaki dikenakan syarat memberikan "hadiah" (biasanya sebentuk cincin) kepada kakak-kakaknya. Dalam majlis semalam, Ayah Long dan Mak Long menjelaskan mereka tidak ada sebarang syarat. Lagipun sekarang ini, rumah sudah tidak ada bendul. Jadi, tidak perlu memberikan apa-apa hadiah tambahan. Malah, Ayah Long menjelaskan dia mahu memudahkan urusan dan kalau boleh selesaikan pada hari tersebut sahaja. Pihak pengantin lelaki hanya diam bersetuju dan mereka pun bukan orang lain kepada Ayah Long. Bakal besan Ayah Long sebenarnya adalah rakan semasa berkhidmat dalam tentera dahulu.

Komen penulis blog: Situasi di atas menunjukkankan betapa bertolak ansurnya Ayah Long saya yang tidak suka membebankan bakal pengantin lelaki dengan mengamalkan adat langkah bendul yang memaksa bakal pengantin lelaki menyediakan cincin kepada kakak-kakak bakal pengantin perempuan yang belum berkahwin. Saya menyetujui tindakan Ayah Long saya kerana tidak terlalu Ortodoks dalam mengamalkan adat terdahulu yang seakan-akan menyusahkan sesuatu yang mudah cuba kita bayangkan sekiranya cincin terpaksa diberikan kepada tiga orang kakak pengantin serta kepada pengantin sendiri agak-agaknya kos untuk membeli cincin mungkin melebihi RM1000 jika harga cincin Rm300..Hal ini bertentangan dengan sabda Nabi S.A.W. yang mahfumnya lebih kurang “ permudahkan dan jangan kamu susahkan “.Wallahualam

Majlis Perkahwinan kaum Iban

Pada majlis perkahwinan kaum Iban, pelbagai persiapan akan dibuat untuk majlis perkahwinan yang bakal tiba. Bagi pihak keluarga lelaki mereka akan menyediakan perbelanjaan serta barang yang harus diberikan kepada keluarga perempuan. Keluarga perempuan juga membuat pelbagai persiapan termasuk memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan. Untuk mengundang tetamu, kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan kahwin. Wakil itu membawa beberapa utas tali bersimpul yang menunjukkan berapa hari lagi perkahwinan dilangsungkan. Sekiranya tali itu mempunyai lima simpulan, bermakna perkahwinan itu akan berlangsung dalam masa lima hari lagi. Wakil khas akan meninggalkan tali bersimpul itu kepada tuai rumah atau ketua rumah panjang yang bertanggungjawab membuka simpulan tali itu setiap hari.

Pada hari perkahwinan, rombongan lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi kain pua kumbu sekiranya pengantin melalui jalan sungai. Jika tidak, pengantin akan berjalan kaki mengikut jalan darat. Di sepanjang jalan, rombongan yang berpakaian menarik itu akan memukul gong. Sebaik sahaja sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan. Kemudian mereka mandi beramai-ramai di sungai sebelum memakai pakaian tradisional. Sampai di tangga rumah panjang, kepala rombongan pengantin lelaki dipelawa menyembelih seekor babi  sebagai penghormatan dan pada masa itu juga tembakan senapang akan kedengaran secara balas-membalas. Di kepala tangga rumah itu pula, terdapat rangka yang berbentuk seperti kota. Ketua rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka tiga buah kota iaitu di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah. Setelah itu, rombongan pihak lelaki di kalangan kaum wanita akan masuk ke bilik pengantin perempuan, manakala yang lelaki duduk di ruai. Mengikut adat tetamu perempuan hanya dapat masuk ke dalam bilik pengantin perempuan dengan menggunakan bahasa berirama untuk membuka pintu bilik yang dipalang dengan lembing dan ditutup oleh pua kumbu. Para tetamu seterusnya akan dijamu dengan sejenis arak iaitu tuak dan pelbagai jenis air seperti air haus, air dahaga dan air untung. Sambil itu mereka akan bergurau senda dan beramai-ramai menyanyikan lagu dan memukul gendang. Mereka juga akan berpusing di rumah selama tiga kali. Sesudah itu air minuman akan dihantar kepada setiap tetamu dan ini dinamakan air penyuci. Sekiranya perkahwinan berlangsung pada waktu siang, selepas makan tengahari barulah kedua-dua pihak berbincang tentang perihal pengantin dan susur galur mereka. Sekiranya dilangsungkan pada waktu malam, perbincangan dilakukan selepas tengah malam. Mereka akan berbincang dan golongan yang tertua akan melakarkan hubungan antara pengantin lelaki dan perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Sebelum perbincangan diadakan, tuai rumah sekali lagi akan menghidangkan minuman keras yang dipanggil air perangsang kepada para tetamu.

Setelah mengetahui hubungkait kekeluargaan, denda akan dikenakan kepada mereka. Selepas itu barulah ibu bapa pengantin perempuan meminta berian. Terdapat nilai berian yang telah ditetapkan di kalangan masyarakat Iban. Pihak perempuan juga meminta bayaran memecah tangga iaitu sebilah beliung, bayaran pembuka pintu iaitu sebatang lembing, bayaran pembuka kelambu iaitu sebilah pedang dan pemberian kecil yang lain. Pihak lelaki pula meminta pencuci kaki, sebuah tempayan, sepasang tempat menggantung gong, penolak haluan iaitu sebatang sumpitan, kajang perahu iaitu sehelai kain pua kumbu dan beberapa pemberian kecil lagi. Selepas menjelaskan segala berian, mereka menetapkan pula syarat berhubung dengan berian sekiranya berlaku perceraian. Permintaan tersebut akan hilang setelah berlakunya perceraian yang tidak nyata. Sekiranya perceraian disebabkan oleh pihak lelaki, si suami wajib membayar balik berian yang diterimanya dahulu dan tambahan sebanyak RM50 sebagai denda. Sekiranya berlaku percubaan untuk mencemarkan nama mana-mana pihak, pihak yang bertanggungjawab akan dikenakan denda yang lain. Seterusnya upacara membelah pinang atau mengulang pinang akan dijalankan. Seorang perempuan akan membawa keluar tepak sirih dan kemudian membelah pinang tersebut. Pecahan pinang itu akan menentukan tempoh masa pengantin perempuan wajib tinggal di rumah suaminya. Kemudian seorang lemambang atau bomoh akan mengadakan upacara menidurkan anak dan mengejutkan anak itu semula dengan beberapa rangkap pantun. Seterusnya pinang tersebut akan diagihkan kepada tetamu dan diberi sarapan pagi. Upacara perkahwinan telah dianggap tamat dengan menjalankan adat ini sekiranya tiada kesalahan adat yang dilakukan oleh kedua belah pihak. Jika tidak pengantin baru akan mandi di sungai untuk membersihkan diri. Untuk adat ini juga mereka perlu memegang sehelai kain yang panjangnya tujuh ela supaya kesalahan semasa perkahwinan itu akan hilang pada setiap individu. Selepas mandi, mereka menyembelih seekor babi sebagai korban dan juga sebagai penebus dosa pengantin. Setelah menyucikan diri, pasangan pengantin akan memakai pakaian masing-masing untuk pergi ke rumah pengantin lelaki pula. Di sepanjang jalan, rombongan perlu kelihatan gembira kerana segala kesalahan telah dihapuskan. Seterusnya sambutan yang meriah diadakan pula di rumah pengantinlelaki.

Pada sebelah malamnya, kedua pengantin diiringi oleh pengapit masing-masing dan akan disandingkan di atas gong atau kerusi yang dialas kain tenun. Adat ini juga boleh disamakan dengan adat bersanding di kalangan masyarakat Melayu. Pasangan ini akan disaksikan oleh hadirin di rumah panjang tersebut. Seterusnya seseorang yang dipanggil tukang ganyang akan memulakan upacara. Ayam yang telah diikat kakinya kemudian dilepaskan dan mentera pun dibaca. Ayam yang telah disembelih itu akan diambil darahnya untuk disemah kepada pengantin. Istiadat ini akan diakhiri dengan jamuan makan dan minum. Selepas mengadakan majlis di rumah pengantin lelaki, sekali lagi majlis diadakan di rumah pengantin perempuan. Sungguhpun mereka telah sah sebagai pasangan suami isteri, mereka tidak boleh tidur bersama. Si suami masih tidur di ruai iaitu di bilik tetamu. Sebarang bunyi-bunyian yang didengar sepanjang berada di situ akan mempunyai maksud yang tersendiri samada baik atau sebaliknya. Ada pasangan yang terpaksa dipisahkan buat sementara waktu kerana mendapat petanda buruk.

Komen Penulis Blog: Sungguh unik dan menarik perkahwinan masyarakat kaum Iban. Perkahwinan mereka ini penuh dengan adat, pantang larang dan unsur-unsur mistik dan kepercayaan yang tidak terdapat pada kaum-kaum lain di Malaysia. Saya telah bertanya kepada seorang rakan sekuliah saya yang berbangsa Iban, saudara Enliang Anak Josi tentang kesahihan amalan yang dipraktikan oleh masyarakat Iban dalam melangsungkan majlis perkahwinan seperti yang dipaparkan dalam artikel di atas. Menurutnya, amalan di atas masih di amalkan Cuma ada sedikit pembaharuan yang dibuat mengikut kehendak semasa. Agama Kristian yang menjadi agama pilihan bagi majoriti masyarakat Iban berperanan besar dalam menyuntik pembaharuan dalam majlis perkahwinan masyarakat Iban.